Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, January 19, 2018

PNB, KWSP beli aset
komersial Battersea RM8.8b




KUALA LUMPUR 18 Jan. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhasrat untuk membeli aset komersial bernilai 1.61 bilion pound sterling (RM8.8 bilion) dalam kawasan Fasa 2 projek pembangunan Battersea Power Station di London.

Kedua-dua organisasi tersebut telah memeterai terma perjanjian dengan Battersea Phase 2 Holding Company iaitu anak syarikat milik penuh Battersea Project Holding Co. Ltd. yang mana dimiliki seimbang oleh SP Setia Berhad dan Sime Darby Property Berhad sebanyak 40 peratus manakala bakinya dimiliki oleh KWSP bagi meneroka potensi penjualan berkenaan.

Menurut SP Setia, aset ko­mersial berkenaan akan dijual kepada syarikat usahasama yang akan ditubuhkan oleh PNB dan KWSP. “Setelah selesai sepenuhnya, urus niaga ini adalah sejajar dengan pelan perniagaan kami kerana ia akan meningkatkan pulangan pelaburan sekali gus membolehkan SP Setia memanfaatkan peluang sebagai pemaju hartanah di samping terus memainkan peranan penting dalam keseluruhan pembangunan projek.

“Urus niaga yang dirancang ini juga menunjukkan komitmen secara langsung oleh pemegang saham institusi utama dalam pembangunan projek Battersea Power Station,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek Battersea Power Station di London berkeluasan 17 hektar dan merangkumi 3.5 juta kaki persegi ruang komersial campuran serta sebanyak 4,364 kediaman baharu.

Fasa 1 projek itu atau dikenali sebagai Circus West Village merangkumi 12 blok kediaman dan 100,000 kaki persegi restoran berkualiti tinggi, kedai, pejabat dan kemudahan riadah telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pembeli tahun lalu.

Terma perjanjian yang termeterai itu adalah tidak terikat dan termasuk tempoh eksklusif yang berakhir 30 April 2018 untuk menyelesaikan sepenuhnya cadangan transaksi berkenaan.

Mengulas lanjut, SP Setia berkata, minat yang ditunjukkan oleh PNB dan KWSP untuk menjadi pemegang aset jangka panjang bagi projek Battersea Power Station adalah tepat pada masanya.

Hal ini kerana, sambutan menggalakkan yang diterima termasuk prajualan kediaman yang berada pada kadar 90 peratus dan sebanyak 470,000 kaki persegi ruang pejabat yang disewa oleh Apple bermakna projek tersebut mampu memberi keuntungan tinggi.

“Pembelian aset komersial oleh PNB dan KWSP ini juga membolehkan SP Setia untuk menumpukan kepada meningkatkan keuntungan dan pulangan pelaburan projek daripada fasa-fasa lain projek tersebut dengan keseluruhan projek dijangka siap menjelang tahun 2028.

“Pegangan dalam Battersea Project Holding Co. Ltd. juga kekal tidak berubah antara Sime Darby Property, SP Setia dan KWSP dengan kami terus komited serta positif dengan prospek jangka panjang projek Battersea Power Station,” ujarnya.

Dalam kenyataan berasingan, Sime Darby Property berkata, cadangan urus niaga tersebut adalah untuk menyusun semula pemilikan hartanah komersial Battersea Power Station di bawah PNB dan KWSP yang juga merupakan pelabur jangka panjang manakala Sime Darby Property dan SP Setia merupakan pemaju hartanah utama.


Katanya, cadangan urusniaga itu sememangnya akan melonjakkan pulangan pelaburan kepada Sime Darby Property dan SP Setia sebagai rakan pembangunan projek lebih awal daripada yang dijangkakan.



P.Pinang Bayar Yuran RM11.2 juta Hanya Untuk “Semak dan Sahkan” Laporan



lim-guan-eng-terowong


Tulisan asal oleh:

Eric See-To, Facebook Eric See-To, 19 Januari 2018



Jika anda fikir Kerajaan Pulau Pinang yang membayar RM305 juta untuk membuat laporan untuk projek Terowong Pulau Pinang adalah sangat keterlaluan, anda akan menjadi lebih marah apabila anda mendengar bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang baru sahaja mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah membayar syarikat swasta RM11.2 juta untuk menjadi “jurutera pemeriksa bebas” untuk menyemak dan mengesahkan laporan itu.



Ketika mengulas mengenai kos laporan projek Terowong Pulau Pinang itu, Menteri Kerja Raya sebelum ini berkata mereka boleh melakukan laporan kebolehlaksanaan untuk lebuh raya pada hanya beberapa juta ringgit memandangkan projek-projek lebuh raya adalah projek lazim di Malaysia manakala kos untuk reka bentuk terperinci itu hanyalah sebahagian kecil daripada kos yang dibayar oleh Pulau Pinang.



Di Kanada, kerajaan mereka mengarahkan kajian kebolehlaksanaan untuk terowong dasar sungai sepanjang 3.4km dengan dua lorong di setiap arah pada harga C$750,000 (RM2.4 juta) pada tahun 2015. Kajian itu selesai pada pertengahan 2016 dan orang ramai boleh melihatnya di internet.




Kerajaan Kanada juga hanya perlu membayar C$ 750,000 (RM2.4 juta) untuk satu lagi laporan kebolehlaksanaan untuk terowong dasar laut sepanjang 17km (lebih daripada dua kali ganda panjang terowong Pulau Pinang).



Tetapi di Pulau Pinang, bukan sahaja laporan mereka beratus-ratus juta, ia juga masih belum selesai walaupun sudah hampir 5 tahun.



Mana-mana bahagian yang lengkap juga nampaknya menjadi rahsia negeri yang tidak dapat ditunjukkan kepada orang ramai. Malah Kementerian Kerja Raya yang telah meminta laporan itu sejak awal tahun 2016 tidak menerimanya kerana Kerajaan Pulau Pinang tidak mahu mengemukakan laporan itu.



Di manakah ketelusannya?



Dan sekarang, kita mendapat berita bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membayar tunai RM11.2 juta untuk “jurutera pemeriksa bebas” untuk menyemak dan mengesahkan laporan itu.




Alasan Ketua Menteri Pulau Pinang adalah bahawa “jurutera pemeriksa bebas” ini dipilih dan dianugerahkan melalui tender yang terbuka.



Jika beginilah, tidak hairanlah bahawa perbelanjaan operasi tahunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkat 500% dari 2008 hingga 2017, bukan? Dan ini adalah parti yang sama yang mengatakan bahawa kerajaan BN membazir, korup dan tidak dapat mengawal perbelanjaan tahunannya?



Saya teringat akan bantahan besar apabila Ketua Audit Negara mendapati bahawa RTM telah terlebih bayar lebih RM14,000 apabila membayar untuk 3 pengimbas pada tahun 2012 – atau jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM52,000.



Walaupun dengan penjelasan oleh RTM bahawa jam itu adalah sebahagian kecil daripada kontrak yang lebih besar yang melibatkan barang-barang lain dan dianugerahkan kepada pembida terendah dalam tender terbuka, kemarahan orang awam tidak mereda.



Adakah kita akan mengharapkan bantahan yang sama oleh orang ramai untuk laporan bernilai RM305 juta itu atau yuran RM11.2 juta yang telah dibayar oleh Kerajaan Pulau Pinang untuk “menyemak dan mengesahkan” laporan itu?



Ini malah lebih daripada RM5 juta yang dianggarkan oleh Kerajaan Pulau Pinang untuk dibelanjakan untuk memeriksa semua lereng bukit di Pulau Pinang untuk kemungkinan risiko tanah runtuh berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada akhir tahun lepas.



Link asal artikel:

https://www.facebook.com/EricSeeTo

Perbezaan Lawatan Dibuat Najib Ke Luar Negara Dengan Mahathir

Bukti Terdapat Ahli PKR Akan Rosakkan Undi Dalam PRU-14

Rang Daftar Pemilih Suku Keempat, Sila Semak Sekarang



Rang Daftar Pemilih Suku Keempat, Semak Sekarang

Rang daftar pemilih tambahan suku keempat 2017 telah dipamerkan.

Warga Negara Malaysia yang telah mendaftar sebagai pemilih atau telah menukar alamat tempat mengundi baharu antara Oktober hingga Disember 2017 boleh semak sekarang di :

http://daftarj.spr.gov.my/




Thursday, January 18, 2018

Nasib Orang Asli Tidak Pernah Dipinggirkan




Orang_Asli
 Sepasang bapa dan anak Orang Asli Semenanjung Malaysia

Sepanjang tahun 1970an hinggalah awal 2000, Tentera Udara DiRaja Malaysia sentiasa mempunyai beberapa buah helikopter Sikorsky S-61A Nuri dan Aérospatiale Alouette III yang sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, sama ada untuk kecemasan perubatan mahupun untuk membawa mereka keluar untuk menyertai program-program JHEOA (kini JAKOA) di bandar-bandar besar.



Kini, tanggungjawab tersebut juga ditanggung oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sering kelihatan menerbangkan helikopter-helikopternya di kawasan pedalaman.

WhatsApp Image 2018-01-16 at 10.52.333
Unit Udara JBPM digerakkan ke Gua Musang untuk membantu membawa para 
pelajar Orang Asli ke sekolah


Baru-baru ini, cuaca buruk telah menyebabkan jalan-jalan yang menghubungkan Gua Musang dengan empat pos Orang Asli di pedalaman terputus, menyebabkan seramai 242 orang pelajar Orang Asli terkandas dan tidak dapat pergi ke sekolah.  Para pelajar tersebut adalah dari Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob dan Pos Bihai.  Dari Pos Bihai melibatkan mereka-mereka dari Kampung Laklok, Kampung Tendrik, Kampung Bihai dan Kampung Hak.



JBPM telah menggerakkan dua buah helikopter dari jenis Agusta Westland A109E dan Agusta Westland 139 untuk membantu menghantar para pelajar tersebut ke sekolah.  Pesawat-pesawat tersebut dipandu oleh Penguasa Kanan Bomba I Roslan bin Aziz, Mejar Leong Cheong Meng TUDM, dan dibantu oleh penolong juruterbang Timbalan Penguasa Bomba Faizal bin Latif dan Timbalan Penguasa Bomba Sharizal bin Sahari.  Turut serta ialah tiga orang Kuartermaster Udara iaitu Penolong Penguasa Bomba Ubadah bin Suib, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Norhasrul bin Mohd Noordin dan Pegawai Bomba Kanan I Safuan bin Mohamad.



Pesawat jenis Agusta Westland A109E telah mula berkhidmat dengan Unit Udara JBPM pada tahun 2003 manakala Agusta Westland A139 pula mula diterima pada tahun 2010.  Unit tersebut mengoperasikan sebanyak lapan buah helikopter pelbagai jenis.  Unit ini telah bermula dengan empat buah helikopter Mil-Mi-17-1 buatan Russia yang mula diterima pada tahun 1998.  Ini diikuti oleh dua buah helikopter Agusta Westland A109E, dan dua buah Agusta Westland A139.  Salah sebuah helikopter Agusta Westland A109E tersebut telah terhempas dalam cuaca berkabus di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang, Pahang semasa membuat pengawasan dari udara pada 16 September 2010.  JBPM juga telah memesan dua buah helikopter jenis Agusta Westland A189 pada tahun 2016.


DTlliqDVQAAGnis
Para pelajar Orang Asli dibawa keluar menaiki pesawat 
Agusta Westland A109 Unit Udara JBPM



Walaupun cuaca tidak menentu, kedua-dua buah helikopter tersebut telah berjaya membawa keluar seramai 52 orang pelajar dari Pos Balar dan Pos Belatim ke Padang Sivik Gua Musang, manakala 44 orang pelajar dibawa keluar dari Pos Cemal ke Pos Balar pada hari pertama Ops Murni.  Operasi itu telah bermula pada jam 10.10 pagi dan berakhir pada jam 5.10 petang akibat cuaca yang bertambah buruk.


WhatsApp Image 2018-01-16 at 23.55.581
Pesakit Orang Asli dikeluarkan untuk dibawa ke hospital sebaik 
pesawat mendarat di Gua Musang


Walaupun Ops Murni bertujuan untuk membolehkan para pelajar Orang Asli hadir sessi persekolahan, operasi tersebut diselangi beberapa penerbangan ihsan membawa Orang Asli yang mempunyai sakit kritikal ke Hospital Gua Musang.  Ini menunjukkan kesediaan Unit Udara JBPM untuk bertukar mod operasi demi nyawa dan kesejahteraan masyarakat walaupun nyawa sendiri dipertaruhkan demi menyelamatkan orang lain.


heli10

Pesawat Agusta Westland A109E (9M-BOA) milik Unit Udara JBPM yang terhempas dalam kabus di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang, Pahang. Tiga orang anak kapal cedera dalam insiden ini. PgKB I Roslan bin Aziz adalah salah seorang mangsa insiden tersebut


Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat Orang Asli.  Disebabkan ketidak-pekaan ini, kerajaan sering dicemuh dan dituduh tidak mengambil berat masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.  Hakikatnya, untuk pihak JBPM sahaja, sebanyak 47 penerbangan ihsan telah dibuat pada tahun 2015 untuk menerbangkan seramai 111 orang pesakit dan pengiring.  Sebahagian besar adalah dari kalangan masyarakat Orang Asli.



Oleh itu, jangan mudah menuduh bahawa kerajaan tidak mengambil berat terhadap masyarakat luar bandar terutamanya Orang Asli kerana juruterbang-juruterbang seperti PgKB I Roslan dan Mejar Leong sentiasa bersedia memberi keutamaan kepada kesejahteraan masyarakat tersebut.


WhatsApp Image 2018-01-16 at 10.52.33
PgKB I Roslan bin Aziz berbincang mengenai operasi yang telah mereka jalankan 
setelah tamat penerbangan hari pertama Ops Murni 




DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.